Monday, January 23, 2023

TRANSFORMASI

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aktiviti:

Sambungan Pembentangan

Minggu 3 kelas ditangguhkan kerana cuti sempena Tahun Baru Cina. Maka, saya bersama kumpulan mengambil peluang tersebut untuk melakukan transformasi secara besar-besaran terhadap slaid pembentangan kami. Kali ini, idea datang secara mencurah-curah tetapi perasaan bimbang tetap tidak dapat dihalau kerana memikirkan kandungan fakta, contoh dan animasi yang digunakan adalah bersesuaian atau tidak bersesuaian. Kumpulan saya masih lagi mengekalkan penggunaan Canva kerana berasa aplikasi tersebut lebih mudah digunakan. Komen atau maklum balas daripada pensyarah terhadap kumpulan lain turut dijadikan paduan kepada kumpulan kami untuk menambah baik slaid pembentangan.

Tugasan:

Pembentangan seterusnya melibatkan topik asas perisian grafik Vektor untuk kumpulan yang belum bentang termasuklah kumpulan saya. Setelah pembahagian subtopik dilakukan , saya perlu menyediakan slaid berkenaan kegunaan Layer, Channels dan Mask. Pelbagai sumber bacaan digital, video tutorial dan kenalan yang arif dalam bidang teknologi dan multimedia saya jadikan rujukan dalam memahami fungsi layer, channel dan mask. Melalui video tutorial penggunaan perisian Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator yang ditunjukkan, pemahaman saya bertambah baik. Pencerahan yang lebih jelas oleh kenalan yang arif dalam bidangnya turut membantu meningkatkan pengetahuan. Saya juga berlatih berulang kali memastikan penyampaian saya betul, jelas dan menarik kepada rakan-rakan yang lain. Pertindihan masa dan kekangan masa menjadi faktor utama saya tidak dapat belajar menggunakan perisian Adobe Photoshop dan Illustrator secara praktikal daripada kenalan saya. Mungkin pendedahan secara praktikal  akan lebih membantu saya memahami  perisian Adobe tersebut dengan lebih baik.

Monday, January 16, 2023

MINGGU MENDEBARKAN

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aktiviti:

Minggu pembentangan mengenai konsep grafik melibatkan istilah, jenis dan format grafik Bitmap bermula. Persediaan dari aspek pembacaan dan penyediaan slaid telah dilakukan sepanjang minggu pertama selepas tamat kelas.  Setelah agihan subtopik dibuat bersama kumpulan, saya dikehendaki menerangkan dan menyediakan slaid mengenai proses  menyimpan, mengeksport dan mencetak menggunakan perisian grafik Bitmap. Perbincangan bersama kumpulan dilakukan melalui aplikasi Google Meet dan juga melalui Whatsapp. Saya dapati, saya sukar untuk menerangkan proses tersebut secara teori di dalam slaid berbanding secara praktikal dan idea saya untuk persembahan slaid ketika itu masih tumpul. Pada masa yang sama saya agak risau memikirkan saya mungkin tersalah informasi atau fakta ketika pembentangan nanti. 

Pembentangan hanya sempat dilakukan oleh 2 kumpulan kerana pensyarah mendapati persembahan dan penyampaian slaid tidak menarik kerana tidak interaktif dan terlalu berorientasikan perkataan tanpa video-video atau grafik-grafik yang berkaitan tajuk yang dibincangkan. Pensyarah mencadangkan  supaya penambah baikan dilakukan terhadap kandungan slaid melibatkan fakta dan contoh yang lebih jelas dan mendalam, unsur animasi diperbanyakkan dan pemilihan warna yang cerah untuk slaid diberi perhatian supaya tulisan dapat dilihat dengan jelas. Antara aplikasi yang disyorkan oleh pensyarah ialah Runwayml.com, Veed IO, pictory.ai dan Beautiful.ai. Malangnya, saya bersama ahli kumpulan masih tidak dapat menggunakan mana-mana aplikasi tersebut dalam tempoh masa yang diberi oleh pensayarah. Saya dan kumpulan mengambil keputusan untuk terus menggunakan Canva tetapi kami memperbanyakkan unsur-unsur animasi dalam slaid kumpulan kami agar lebih menarik dan interaktif. Masa sangat pantas berlalu kerana kumpulan saya tidak sempat membentangkan slaid kumpulan kami. 

Tugasan:

Saya dan ahli kumpulan bercadang untuk menukarkan platform pembentangan daripada Canva kepada Microsoft Power Point untuk kelas yang seterusnya. 

Tuesday, January 10, 2023

SELAMAT PAGI DR!

     

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tanggal 9 Januari 2022 bersamaan kelmarin merupakan kelas  pertama untuk subjek SGDM 4013 iaitu Perkembangan Grafik  dan  Animasi dalam Pendidikan atau Graphic Animation Development in Education. Perasaan ketika  itu bercampur- campur antara gementar, takut dan teruja. Gementar dan takut apabila mengenangkan diri sendiri yang kurang mahir dengan teknologi dan ICT dan teruja apabila dapat belajar ilmu dan kemahiran baru yang boleh diaplikasikan sebagai pendidik kelak. InshaAllah. Jom kita lihat persediaan dan aktiviti yang dilakukan untuk minggu yang pertama ini.

   a) Penubuhan Kumpulan A SGDM 4013 

Melalui aplikasi Telegram, penubuhan ini dilakukakan bertujuan untuk memudahkan komunikasi  dan perbincangan antara pelajar dan pensyarah. Video  pertama yang dikongsi oleh Dr ketika itu melalui    pautan tik tok ialah berkenaan aplikasi AI (Artificial Intelligence) yang boleh digunakan untuk membuat dan mengubah suai  kandungan video (content creators) iaitu ChatGPT, Pictory Al, Synthesia IO dan Veed IO. Terasa seperti katak di bawah tempurung juga ketika itu kerana tidak menyedari kewujudan mana-mana aplikasi tersebut ketika itu.        

   b) Kumpulan Tiga Serangkai.

Bermatlamat untuk melengkapkan tugasan secara "hands on" atau "mind-on". Pemilihan ahli dibuat oleh pelajar sendiri memandangkan kami mempunyai pengalaman bekerjasama dalam beberapa tugasan pada semester yang lepas. Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal banyak pula hendak bercerita. Disebabkan keserasian itu telah ada, maka kebanyakan dari kami memilih untuk kekal dalam kumpulan yang telah dibuat sedangkan pensyarah mengesyorkan kami bergaul dengan rakan-rakan lain. Kumpulan saya merupakan kumpulan 5 yang terdiri daripada saya, Aina Safina dan Husna.




    c) Pengenalan 

Kelas dilakukan secara atas talian (online) melalui aplikasi WEBEX bermula dengan sesi pengenalan diri pelajar kepada pensyarah iaitu Dr. Mohan Rathakrishnan. Selepas sesi pengenalan diri, dr Mohan menunjukkan silibus dan rubrik tugasan untuk kursus ini. Pelajar digalakkan untuk bertanya soalan. Cemas dan berpeluh memikirkan soalan yang boleh ditanya kepada pensyarah ketika itu memandangkan semua pelajar perlu mengemukakan soalan. Alhamdulillah sel-sel neuron di otak ketika itu masih aktif berhubung walaupun hormon Adrenaline ketika itu di paras membimbangkan.

    d) Tugasan

Agihan tajuk pembentangan iaitu Konsep Grafik. Pensyarah terlebih dahulu memberi pengenalan kepada dua jenis grafik iaitu grafik Bitmap dan grafik Vektor. Tugasan rasmi kumpulan pelajar yang pertama adalah menyediakan slaid pembentangan mengenai ciri-ciri grafik Bitmap.  Tiada unsur pilih kasih melibatkan pemilihan tajuk kerana semua kumpulan perlu membentangkan tajuk yang sama. Kreativiti menjadi taruhan untuk menghasilkan slaid yang menarik dan berinformasi.



    

PENYELESAIAN MASALAH

  Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aktiviti: Perbincangan Berkumpulan Secara Bebas Pensyarah memberikan ruang selama 1 jam kepada setiap...