Sunday, October 30, 2022

LR: FASA KETIGA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera😊



Entry untuk kali ini, saya nak kongsikan pengalaman belajar ilmu marketing. Bila kita dah ada produk kenalah pasarkan. Jadi bila kita nak pasarkan produk ni mestilah nak kena ada ilmu pemasaran tu dulu. Memandangkan produk inovasi ini telah disasarkan untuk tujuan pendidikan dan lebih berfokus kepada pelajar maka lebih senang kami merancang stategi pemasaran kami. First impression tu penting maka sebab tu pembungkusan kami tu kena menarik. Jadi, sebab tulah kami letak figura Optimus Prime sebagai wow factor untuk produk kami. Kalau lihat pada post saya yang lepas, itulah figuranya. Selepas upgrade masih kekal di situ. Seterusnya kami cadang untuk beri rewards kepada pelajar-pelajar yang terlibat. Kalah menang itu adat permainan tetapi kesudian untuk meluangkan masa bagi membantu kami dan pada masa yang sama mereka menunjukkan minat untuk belajar itu patutlah kami hargai. Untuk bermain dalam board game kami ini pun kami kena pastikan dahulu mereka faham dan boleh menjawab soalan-soalan berkenaan tajuk Persamaan Linear ini. Sebagai bakal pendidik InshaAllah menjadi tugas kami jugalah mencari kaedah dan teknik terbaik dalam membantu mereka memahami tajuk ini dengan lebih baik. Kami berharap produk kami dapat membantu pelajar lebih memahami tajuk ini. Semoga Allah permudahkan. Aamiin.

PR: FASA KETIGA

 Assamualaikum dan salam sejahtera.😊



Untuk fasa terakhir projek kami, Alhamdulillah pembinaan board game telah selesai dengan jayanya. Terima kasih kepada ahli kumpulan atas segala usaha dan penat lelah untuk menyiapkan board game ini.  Tinggal untuk unboxing sahaja. Perjumpaan pertama bersama pelajar juga telah dibuat dan akan menyusul lagi perjumpaan yang seterusnya supaya  rakaman video untuk promosi dapat dilakukan. Selain untuk video promosi, perjumpaan ini juga bertujuan untuk menguji produk kami. Kami memilih untuk melakukan dua perkara dengan serentak ini disebabkan kekangan masa dan jarak antara kami. Masa dan tarikh belum diputuskan tetapi InshaAllah dalam masa terdekat. Pelajar-pelajar yang terlibat juga sanggup memberi komitmen dan guru yang terlibat pun sanggup mengorbankan masa PdP mereka untuk memberi laluan dan peluang kepada kami untuk menjayakan produk kami ini. Terima kasih semua💕.

Saturday, October 29, 2022

LR: FASA KEDUA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera😊



Bertemu lagi kita di post yang seterusnya. Sebelum ini saya dah bercerita perit getir untuk menyiapkan poster (hiperbola sangat ni). Jadi untuk entry kali ini saya nak cerita pulak mengenai hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada projek ini. Cabaran makin besar, tugasan makin bertambah maka kita harus tabah dan sabar ya di sini.  Untuk meyakinkan orang ramai dengan keberkesanan board game kami ini, maka kami perlukan komen-komen dan maklum balas daripada orang ramai. Orang ramai tu termasuklah pelajar-pelajar, lagi bagus  tingkatan satu sebab soalan-soalan yang dibuat pun memang ikut sukatan tingkatan 1. Nak elak bangga diri kena ada juga komen tu tapi biar membina la jugak. Bila dah orang komen kena berlapang dada. Ubah apa yang patut ikut selera pelajar-pelajar sekarang sebab budak-budak zaman sekarang lagi maju dari kita. Celik IT belaka. Umur setahun jagung dah pandai godek-godek phone. Saya umur 17 nak masuk 18 tahun baru nak belajar explore tupun telefon Nokia je. Maka, sebab tu jugakla kami pilih Transformer ni.  Dogeng  pahlawan-pahlawan robot untuk selamatkan  bumi. Kan budak-budak suka cerita lawan-lawan dan superhero ni. Jangan kata budak, saya yang tak budak ni pun layan semua sequel movie ni😁. Ada yang tak pernah tengok ke movie ni? 

Berada di abad ke-21, pedagogi dah tak sesuai untuk guru setakat "chalk and talk". Maka selari dengan arus  globalisasi ini,  PAK-21 telah diperkenalkan oleh KPM. Dalam PAK-21 tu macam-macam teknik atau aktiviti yang guru boleh gunakan di dalam kelas. Maka board game ni salah satu cara yang boleh digunakan. Belajar sambil bermain. Kita asah atau gunakan bakat bermain game pelajar tu untuk belajar 😆. Barulah bermaanfaat. Saja la saya nak kongsi pesan dari guru senior yang bakal bersara tahun depan...katanya, nak hukum pelajar, jangan hukum untuk sakitkan mereka, tapi bagi denda atau hukuman yang boleh mendidik. Kita dah belajar ya kawan-kawan dalam tajuk Psikologi. Cer teka teori mana satu?. Jadi why not kita denda pelajar yang nakal-nakal, yang malas-malas tu untuk stay back main game ni...nak aktifkan balik sel-sel neuron berhubung. Bab kena rehat lambat ni memang igauan ngeri  pada sesetangah pelajar. Apatah lagi kalau kena balik lambat sebab tak siap homework. Kita dah buat sesi percubaan beberapa kali. Ternyata tak gagal 😏. 

PR: FASA KEDUA

 Assamualaikum dan salam sejahtera😊



Untuk entry kali ni saya nak story pula mengenai pembinaan poster kumpulan kami. Nak tanya ...cun tak poster kami? 😎Inilah penghasilan poster ketika breakout room. Terima kasih juga kepada Dr. Ain sebab bagi kami masa dan kesempatan untuk siapkan poster. Kalau tidak susah jugak nak cari masa siapkan😅. Tapi yang atas ni versi tak siap tau. Sudah di upgrade sebab maklum balas yang diterima warna latar tu terang sangat. Itulah yang memilih tu pun minat biru, warna ketenangan katanya. Saya la tu 😁✌. Terlebih dulu nak minta maaf dekat ahli kumpulan sebab nak letak jugak poster tak siap ni di sini. Berbalik kepada topik utama, banyak yang kami bincangkan di breakout room. Antaranya, design dan cara permainan board game kami serta pemilihan warna untuk poster.  Untuk cara dan peraturan board game kami masa ni masih diperhalusi. Kod QR untuk soalan pun masih dalam pembinaan. Sempat juga kami bincang mengenai target sekolah untuk uji board game kami ni.

Cabaran

Risau sebenarnya sebab banyak faktor yang perlu diambil kira. Jarak, masa, kesudian pihak sekolah nak terima kehadiran kami di waktu Pdpc lagi ni. Bukan semua guru terbuka nak terima bila mereka terpaksa korbankan waktu pdpc mereka. Ada yang kejar silibus. Jadi bila nak pilih sekolah ni kena betul-betul cari yang sudi nak bantu. Pelajar pun nak kena pilih yang konsisten bagi komitmen. Maklumlah empat kali nak jumpa. Tapi Alhamdulillah itulah guna sahabat waktu-waktu macam ni. Dialah yang jadi orang tengah untuk cari pelajar. Rasa bersalah banyaklah sebab susahkan dia. Tapi InsaAllah orang dah tolong ni kita kena bagi sagu hati la kan. Tengah fikir lagi ni nak belanja apa. Ada cadangan tak kawan-kawan? Jangan cadang yang mahal-mahal dah la no


Thursday, October 20, 2022

LR: FASA PERTAMA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera😎

Untuk post saya yang kedua ini, saya nak kongsikan ilmu dan kemahiran baru yang saya dapat sepanjang projek inovasi ini berjalan.




 Kemahiran: Kolaboratif

                    Hati Gajah Sama Dilapah, Hati Kuman Sama Dilepah
 
Seperti pepatah di atas untuk mencapai tahap perkembangan projek inovasi ini, kerjasama dan komitmen adalah sangat penting kerana idea dan maklumat yang kami dapat secara individu akan kami kongsikan bersama melalui aplikasi Whatsapp atau Google Meet. Maka dari situ, barulah penambah baikan boleh dilakukan dalam inovasi kami.  Kadang-kadang bukan setakat perkongsian idea sahaja, perkongsian perasaan pun ada juga😅.  Bukan mengumpat atau membawang tapi lebih kepada  dorongan dan semangat untuk menyiapkan tugasan. Sharing is caring kan. 

Nilai: Bertolak-ansur

                     Lain Dulang Lain Kakinya, Lain Orang Lain Hatinya                         
 Apabila berkerja dalam kumpulan ini, nilai bertolak ansur sangatlah penting lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu pengagihan tugas. Memandangkan jarak antara saya dan ahli-ahli kumpulan jauh dan ada yang belajar sambil bekerja maka saya harus faham dan bertolak- ansur sekiranya mereka lambat memberi maklum balas  atau tidak boleh memberi komitmen seperti yang dirancangkan. Husnuzon dan bersangka baik kerana masing-masing pun hendak siapkan tugasan secepat yang boleh. Pengagihan tugas pun mengikut kemahiran yang masing-masing. 

   
 Penggunaan ICT

Ketika bergelar guru ganti dahulu, ICT ini banyak saya gunakan ketika Pdpr sebab masa tu semua sekolah ditutup kerana COVID-19. Secara jujurnya saya tidak pernah gunakan aplikasi Canva untuk sediakan slaid atau poster. Selalu saya akan guna Microsoft Office seperti Words, Power Point dan Excel. Sejak bergelar pelajar semula ni, saya rasa sangat mudah menggunakan Canva ini kerana ada berbagai-bagai jenis templat untuk digunakan. Boleh kata sampai rambang mata nak pilih templat pun.  Boleh mempercepatkan masa apabila perlu buat slaid, poster atau lain-lain secara berjemaah. Mungkin bagi anda yang lain, Canva anda dah lama gunakan tapi bagi saya ini adalah ilmu baru yang saya perolehi. InshaAllah, akan saya gunakan untuk Pdpc saya akan datang. Anda bagaimana? 

Wednesday, October 19, 2022

PR: FASA PERTAMA

 Assamualaikum dan salam sejahtera.😊. 

Ini merupakan post pertama untuk blog saya. Maka,  di sini ingin saya kongsikan terlebih dahulu mengenai projek berkumpulan saya untuk subjek SGDT4013 Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan. 

Penubuhan kumpulan 7

Kumpulan ditetapkan oleh pensyarah. Terdiri daripada saya, Faten dan Nisa. Segala  pertemuan dan perbincangan kami adalah melalui Webex, Google Meet dan Whatsapp. Kerjasama antara kami amat baik walaupun masing-masing duduk jauh. 




Perkembangan Idea

Idea awal kumpulan saya ialah membuat inovasi permainan papan (board game) berdasarkan  dam atau congkak tetapi setelah diperhalusi kami bersependapat untuk memilih permainan board game ala-ala dam ular. Tetapi disebabkan lambakan inovasi permainan dam ular ini maka kami membuat sedikit kelainan menggunakan templat reka bentuk papan yang berbeza ilham daripada permainan kapal terbang milik adik Nisa. Untungnya, permainan ini boleh dimain secara individu atau kumpulan. Konsep yang kami ingin ketengahkan dalam inovasi ini ialah bermain sambil belajar (fun learning concept). Pastilah kami perlukan elemen keseronokan atau wow factor untuk tarik minat pelajar maka kami memasukkan karakter kartun.

Transformath 

Awalnya kami memilih nama inovasi kami sebagai Aero Game tetapi nama Transformath tercetus kerana lebih releven dengan karekter yang digunakan. Nama pun lebih sedap dan lebih komersial. 

Kembali ke Sekolah

Kami memilih subjek Matematik kerana semua ahli kumpulan adalah major Matematik. Jadi tiada masalah dari segi pemilihan subjek. Di awal perbincangan kami, tajuk integer menjadi pilihan kerana dari pengalaman lepas saya sebagai guru ganti apabila pelajar tidak menguasai operasi  melibatkan integer, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan nombor integer di tajuk-tajuk lain. Tetapi kami kemudiannya bersepakat untuk membuat tinjauan dan kajian dahulu untuk mencari tajuk yang sesuai. Maka saya mengambil inisiatif ke sekolah dan sekolah yang saya pilih adalah sekolah yang terakhir saya mengajar sebagai guru ganti. Alhamdulillah dengan maklum balas daripada guru Matematik di situ, tajuk yang paling bermasalah dalam kalangan pelajar di situ  ialah Persamaan Linear kerana ramai pelajar gagal menguasai tajuk ini. Daripada pengalaman saya sendiri pun, pelajar memang susah untuk menguasai tajuk ini walaupun kadang-kadang dah berulang kali diajar. 

Instrumen 
  • Pemilihan soalan berdasarkan latihan-latihan lepas yang telah diberikan oleh guru subjek Matematik.     Soalan terdiri daripada aras rendah, sederhana dan tinggi. 
  • Pemilihan sekolah dicadangkan sekitar Alor Setar kerana saya mempunyai kenalan yang bekerja sebagai guru di sekitar sini. Setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya jarak kerana Faten dan Nisa datang dari Perlis dan Langkawi, kami memilih SMK Sultanah Bahiyah kerana  kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan kemudahan-kemudahan awam yang lain. 
  • Pemilihan pelajar adalah dari Tingkatan 1 dan diambil dari kelas sederhana dan belakang. 

Pembahagian Tugas

Apa yang penting kerjasama. Terngiang sekejap lagu Wonder Pet tu. Yang muda-muda ni tak tahu la tahu ke tak kartun Wonder Pet ni. Tiada isu sleeping partner antara kami kerana masing-masing ada tugasan masing-masing.  Nisa pula berperanan menukarkan semua soalan yang saya dah siapkan ke bentuk kod QR dan juga merangkap editor untuk tatacara dan peraturan board game kami  manakala Faten pula menjawat jawatan designer templat board game. Saya? Mana boleh goyang kaki..budak baik kena amanah 😎 ..Kata-kata kan satu doa, jadi tu adalah satu doa semoga saya jadi insan yang lebih baik. Aminkan ya kawan-kawan. Baiklah sebelum melalut jauh, nak maklum saya tukang cari soalan-soalan  untuk dimasukkan ke dalam permainan kami. 

PENYELESAIAN MASALAH

  Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aktiviti: Perbincangan Berkumpulan Secara Bebas Pensyarah memberikan ruang selama 1 jam kepada setiap...