Monday, February 6, 2023

PENYELESAIAN MASALAH

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aktiviti:

Perbincangan Berkumpulan Secara Bebas

Pensyarah memberikan ruang selama 1 jam kepada setiap kumpulan untuk membincangkan tajuk yang akan digunakan sebagai projek penyelesaian masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah memandangkan beliau terpaksa menghadiri mesyuarat. Berdasarkan perbincangan bersama ahli kumpulan di aplikasi Google Meet, kami mengambil keputusan untuk memilih tajuk Matematik Tingkatan 1 bab 5 iaitu Ungkapan Algebra. Pemilihan ini berdasarkan pengalaman saya yang pernah mengajar subjek Matematik tingkatan 1 di sebuah sekolah. Saya dapati murid sukar memahami dan menguasai bab seterusnya iaitu Persamaan Linear yang merupakan kesinambungan daripada tajuk ungkapan Algebra kerana asas kepada Algebra tidak kukuh. Kami juga sempat mempertimbangkan penggunaan Google Site sebagai platform projek ini memandangkan kami pernah menggunakannya dalam projek semester lepas. 

Konsep Asas Perisian Animasi

Pensyarah menyentuh mengenai asas-asas perisian animasi seperti istilah, jenis dan format. Selain itu, pensyarah berkongsi video tutorial pembinaan animasi menggunakan Microsoft Power Point. Saya pernah membina video pengajaran dan pembelajaran menggunakan Power Point untuk subjek Geografi tetapi ketika itu kreativiti saya agak terhad. Melalui tutorial tersebut, saya dapat memaksimumkan penggunaan Power Point yang sudah sedia ada dalam perisian Microsoft untuk menghasilkan video animasi yang menarik

Tugasan:

Tugasan pertama merupakan tugasan penyelesaian masalah bahagian A yang memerlukan kami menulis laporan secara ilmiah terdiri daripada pendahuluan, subtopik serta gambar atau jadual, penutup dan rujukan yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 muka surat. Tajuk yang kumpulan saya perolehi ialah . Secara jujurnya tajuk tersebut sangat dekat dengan saya dan banyak rujukan yang boleh digunakan. Sedikit sebanyak saya mengetahui mengenai fungsi, perbezaan dan elemen yang perlu ada Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ketika menjadi guru ganti sejak 2014 yang lalu. Malahan saya berpeluang memasuki bengkel menulis RPH dengan betul bersama guru-guru yang lain. Pengalaman ini membantu saya menyiapkan laporan dengan lebih mudah dan lancar.

Tugasan kedua memerlukan pelajar menyediakan video animasi untuk pembentangan kelas seterusnya. Setelah beberapa perbincangan dilakukan melalui Whatsapp, kumpulan saya memilih cerita berkenaan Sang Arnab dan Kura-Kura sebagai video animasi kami. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan tahap kemampuan diri kami dan juga atas faktor masa. 

Monday, January 23, 2023

TRANSFORMASI

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aktiviti:

Sambungan Pembentangan

Minggu 3 kelas ditangguhkan kerana cuti sempena Tahun Baru Cina. Maka, saya bersama kumpulan mengambil peluang tersebut untuk melakukan transformasi secara besar-besaran terhadap slaid pembentangan kami. Kali ini, idea datang secara mencurah-curah tetapi perasaan bimbang tetap tidak dapat dihalau kerana memikirkan kandungan fakta, contoh dan animasi yang digunakan adalah bersesuaian atau tidak bersesuaian. Kumpulan saya masih lagi mengekalkan penggunaan Canva kerana berasa aplikasi tersebut lebih mudah digunakan. Komen atau maklum balas daripada pensyarah terhadap kumpulan lain turut dijadikan paduan kepada kumpulan kami untuk menambah baik slaid pembentangan.

Tugasan:

Pembentangan seterusnya melibatkan topik asas perisian grafik Vektor untuk kumpulan yang belum bentang termasuklah kumpulan saya. Setelah pembahagian subtopik dilakukan , saya perlu menyediakan slaid berkenaan kegunaan Layer, Channels dan Mask. Pelbagai sumber bacaan digital, video tutorial dan kenalan yang arif dalam bidang teknologi dan multimedia saya jadikan rujukan dalam memahami fungsi layer, channel dan mask. Melalui video tutorial penggunaan perisian Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator yang ditunjukkan, pemahaman saya bertambah baik. Pencerahan yang lebih jelas oleh kenalan yang arif dalam bidangnya turut membantu meningkatkan pengetahuan. Saya juga berlatih berulang kali memastikan penyampaian saya betul, jelas dan menarik kepada rakan-rakan yang lain. Pertindihan masa dan kekangan masa menjadi faktor utama saya tidak dapat belajar menggunakan perisian Adobe Photoshop dan Illustrator secara praktikal daripada kenalan saya. Mungkin pendedahan secara praktikal  akan lebih membantu saya memahami  perisian Adobe tersebut dengan lebih baik.

Monday, January 16, 2023

MINGGU MENDEBARKAN

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aktiviti:

Minggu pembentangan mengenai konsep grafik melibatkan istilah, jenis dan format grafik Bitmap bermula. Persediaan dari aspek pembacaan dan penyediaan slaid telah dilakukan sepanjang minggu pertama selepas tamat kelas.  Setelah agihan subtopik dibuat bersama kumpulan, saya dikehendaki menerangkan dan menyediakan slaid mengenai proses  menyimpan, mengeksport dan mencetak menggunakan perisian grafik Bitmap. Perbincangan bersama kumpulan dilakukan melalui aplikasi Google Meet dan juga melalui Whatsapp. Saya dapati, saya sukar untuk menerangkan proses tersebut secara teori di dalam slaid berbanding secara praktikal dan idea saya untuk persembahan slaid ketika itu masih tumpul. Pada masa yang sama saya agak risau memikirkan saya mungkin tersalah informasi atau fakta ketika pembentangan nanti. 

Pembentangan hanya sempat dilakukan oleh 2 kumpulan kerana pensyarah mendapati persembahan dan penyampaian slaid tidak menarik kerana tidak interaktif dan terlalu berorientasikan perkataan tanpa video-video atau grafik-grafik yang berkaitan tajuk yang dibincangkan. Pensyarah mencadangkan  supaya penambah baikan dilakukan terhadap kandungan slaid melibatkan fakta dan contoh yang lebih jelas dan mendalam, unsur animasi diperbanyakkan dan pemilihan warna yang cerah untuk slaid diberi perhatian supaya tulisan dapat dilihat dengan jelas. Antara aplikasi yang disyorkan oleh pensyarah ialah Runwayml.com, Veed IO, pictory.ai dan Beautiful.ai. Malangnya, saya bersama ahli kumpulan masih tidak dapat menggunakan mana-mana aplikasi tersebut dalam tempoh masa yang diberi oleh pensayarah. Saya dan kumpulan mengambil keputusan untuk terus menggunakan Canva tetapi kami memperbanyakkan unsur-unsur animasi dalam slaid kumpulan kami agar lebih menarik dan interaktif. Masa sangat pantas berlalu kerana kumpulan saya tidak sempat membentangkan slaid kumpulan kami. 

Tugasan:

Saya dan ahli kumpulan bercadang untuk menukarkan platform pembentangan daripada Canva kepada Microsoft Power Point untuk kelas yang seterusnya. 

Tuesday, January 10, 2023

SELAMAT PAGI DR!

     

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tanggal 9 Januari 2022 bersamaan kelmarin merupakan kelas  pertama untuk subjek SGDM 4013 iaitu Perkembangan Grafik  dan  Animasi dalam Pendidikan atau Graphic Animation Development in Education. Perasaan ketika  itu bercampur- campur antara gementar, takut dan teruja. Gementar dan takut apabila mengenangkan diri sendiri yang kurang mahir dengan teknologi dan ICT dan teruja apabila dapat belajar ilmu dan kemahiran baru yang boleh diaplikasikan sebagai pendidik kelak. InshaAllah. Jom kita lihat persediaan dan aktiviti yang dilakukan untuk minggu yang pertama ini.

   a) Penubuhan Kumpulan A SGDM 4013 

Melalui aplikasi Telegram, penubuhan ini dilakukakan bertujuan untuk memudahkan komunikasi  dan perbincangan antara pelajar dan pensyarah. Video  pertama yang dikongsi oleh Dr ketika itu melalui    pautan tik tok ialah berkenaan aplikasi AI (Artificial Intelligence) yang boleh digunakan untuk membuat dan mengubah suai  kandungan video (content creators) iaitu ChatGPT, Pictory Al, Synthesia IO dan Veed IO. Terasa seperti katak di bawah tempurung juga ketika itu kerana tidak menyedari kewujudan mana-mana aplikasi tersebut ketika itu.        

   b) Kumpulan Tiga Serangkai.

Bermatlamat untuk melengkapkan tugasan secara "hands on" atau "mind-on". Pemilihan ahli dibuat oleh pelajar sendiri memandangkan kami mempunyai pengalaman bekerjasama dalam beberapa tugasan pada semester yang lepas. Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal banyak pula hendak bercerita. Disebabkan keserasian itu telah ada, maka kebanyakan dari kami memilih untuk kekal dalam kumpulan yang telah dibuat sedangkan pensyarah mengesyorkan kami bergaul dengan rakan-rakan lain. Kumpulan saya merupakan kumpulan 5 yang terdiri daripada saya, Aina Safina dan Husna.




    c) Pengenalan 

Kelas dilakukan secara atas talian (online) melalui aplikasi WEBEX bermula dengan sesi pengenalan diri pelajar kepada pensyarah iaitu Dr. Mohan Rathakrishnan. Selepas sesi pengenalan diri, dr Mohan menunjukkan silibus dan rubrik tugasan untuk kursus ini. Pelajar digalakkan untuk bertanya soalan. Cemas dan berpeluh memikirkan soalan yang boleh ditanya kepada pensyarah ketika itu memandangkan semua pelajar perlu mengemukakan soalan. Alhamdulillah sel-sel neuron di otak ketika itu masih aktif berhubung walaupun hormon Adrenaline ketika itu di paras membimbangkan.

    d) Tugasan

Agihan tajuk pembentangan iaitu Konsep Grafik. Pensyarah terlebih dahulu memberi pengenalan kepada dua jenis grafik iaitu grafik Bitmap dan grafik Vektor. Tugasan rasmi kumpulan pelajar yang pertama adalah menyediakan slaid pembentangan mengenai ciri-ciri grafik Bitmap.  Tiada unsur pilih kasih melibatkan pemilihan tajuk kerana semua kumpulan perlu membentangkan tajuk yang sama. Kreativiti menjadi taruhan untuk menghasilkan slaid yang menarik dan berinformasi.



    

Sunday, October 30, 2022

LR: FASA KETIGA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera😊



Entry untuk kali ini, saya nak kongsikan pengalaman belajar ilmu marketing. Bila kita dah ada produk kenalah pasarkan. Jadi bila kita nak pasarkan produk ni mestilah nak kena ada ilmu pemasaran tu dulu. Memandangkan produk inovasi ini telah disasarkan untuk tujuan pendidikan dan lebih berfokus kepada pelajar maka lebih senang kami merancang stategi pemasaran kami. First impression tu penting maka sebab tu pembungkusan kami tu kena menarik. Jadi, sebab tulah kami letak figura Optimus Prime sebagai wow factor untuk produk kami. Kalau lihat pada post saya yang lepas, itulah figuranya. Selepas upgrade masih kekal di situ. Seterusnya kami cadang untuk beri rewards kepada pelajar-pelajar yang terlibat. Kalah menang itu adat permainan tetapi kesudian untuk meluangkan masa bagi membantu kami dan pada masa yang sama mereka menunjukkan minat untuk belajar itu patutlah kami hargai. Untuk bermain dalam board game kami ini pun kami kena pastikan dahulu mereka faham dan boleh menjawab soalan-soalan berkenaan tajuk Persamaan Linear ini. Sebagai bakal pendidik InshaAllah menjadi tugas kami jugalah mencari kaedah dan teknik terbaik dalam membantu mereka memahami tajuk ini dengan lebih baik. Kami berharap produk kami dapat membantu pelajar lebih memahami tajuk ini. Semoga Allah permudahkan. Aamiin.

PR: FASA KETIGA

 Assamualaikum dan salam sejahtera.😊



Untuk fasa terakhir projek kami, Alhamdulillah pembinaan board game telah selesai dengan jayanya. Terima kasih kepada ahli kumpulan atas segala usaha dan penat lelah untuk menyiapkan board game ini.  Tinggal untuk unboxing sahaja. Perjumpaan pertama bersama pelajar juga telah dibuat dan akan menyusul lagi perjumpaan yang seterusnya supaya  rakaman video untuk promosi dapat dilakukan. Selain untuk video promosi, perjumpaan ini juga bertujuan untuk menguji produk kami. Kami memilih untuk melakukan dua perkara dengan serentak ini disebabkan kekangan masa dan jarak antara kami. Masa dan tarikh belum diputuskan tetapi InshaAllah dalam masa terdekat. Pelajar-pelajar yang terlibat juga sanggup memberi komitmen dan guru yang terlibat pun sanggup mengorbankan masa PdP mereka untuk memberi laluan dan peluang kepada kami untuk menjayakan produk kami ini. Terima kasih semua💕.

Saturday, October 29, 2022

LR: FASA KEDUA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera😊



Bertemu lagi kita di post yang seterusnya. Sebelum ini saya dah bercerita perit getir untuk menyiapkan poster (hiperbola sangat ni). Jadi untuk entry kali ini saya nak cerita pulak mengenai hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada projek ini. Cabaran makin besar, tugasan makin bertambah maka kita harus tabah dan sabar ya di sini.  Untuk meyakinkan orang ramai dengan keberkesanan board game kami ini, maka kami perlukan komen-komen dan maklum balas daripada orang ramai. Orang ramai tu termasuklah pelajar-pelajar, lagi bagus  tingkatan satu sebab soalan-soalan yang dibuat pun memang ikut sukatan tingkatan 1. Nak elak bangga diri kena ada juga komen tu tapi biar membina la jugak. Bila dah orang komen kena berlapang dada. Ubah apa yang patut ikut selera pelajar-pelajar sekarang sebab budak-budak zaman sekarang lagi maju dari kita. Celik IT belaka. Umur setahun jagung dah pandai godek-godek phone. Saya umur 17 nak masuk 18 tahun baru nak belajar explore tupun telefon Nokia je. Maka, sebab tu jugakla kami pilih Transformer ni.  Dogeng  pahlawan-pahlawan robot untuk selamatkan  bumi. Kan budak-budak suka cerita lawan-lawan dan superhero ni. Jangan kata budak, saya yang tak budak ni pun layan semua sequel movie ni😁. Ada yang tak pernah tengok ke movie ni? 

Berada di abad ke-21, pedagogi dah tak sesuai untuk guru setakat "chalk and talk". Maka selari dengan arus  globalisasi ini,  PAK-21 telah diperkenalkan oleh KPM. Dalam PAK-21 tu macam-macam teknik atau aktiviti yang guru boleh gunakan di dalam kelas. Maka board game ni salah satu cara yang boleh digunakan. Belajar sambil bermain. Kita asah atau gunakan bakat bermain game pelajar tu untuk belajar 😆. Barulah bermaanfaat. Saja la saya nak kongsi pesan dari guru senior yang bakal bersara tahun depan...katanya, nak hukum pelajar, jangan hukum untuk sakitkan mereka, tapi bagi denda atau hukuman yang boleh mendidik. Kita dah belajar ya kawan-kawan dalam tajuk Psikologi. Cer teka teori mana satu?. Jadi why not kita denda pelajar yang nakal-nakal, yang malas-malas tu untuk stay back main game ni...nak aktifkan balik sel-sel neuron berhubung. Bab kena rehat lambat ni memang igauan ngeri  pada sesetangah pelajar. Apatah lagi kalau kena balik lambat sebab tak siap homework. Kita dah buat sesi percubaan beberapa kali. Ternyata tak gagal 😏. 

PENYELESAIAN MASALAH

  Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aktiviti: Perbincangan Berkumpulan Secara Bebas Pensyarah memberikan ruang selama 1 jam kepada setiap...